Hukum Menyambut Maulid Nabi ﷺ

Sambutan maulid Nabi Muhammad ﷺ merupakan suatu lambang keagungan, kemuliaan dan kegembiraan kita terhadap Baginda Nabi sallallahu alaihi wa sallam, mengagungkan Nabi sallallahu alaihi wa sallam serta memuliakan baginda dan bergembira dengannya adalah perkara yang disyariatkan secara pasti; kerana tujuan utamanya adalah kerana kecintaan terhadap Baginda Nabi ﷺ yang merupakan salah satu rukun iman.

Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan di dalam “Fathul Bari” (1/48, cetakan Maktabah al-Ghuraba al-Athariah) : “Kecintaan terhadap Nabi sallallahu alaihi wa sallam merupakan sebahagian dari asas keimanan dan ianya seiringan dengan cinta terhadap Allah azza wa jalla dan Allah sendiri yang menyertakannya secara seiringan bahkan memberi amaran kepada sesiapa yang mendahulukan cinta kepada sesuatu perkara daripada kalangan ahli keluarga, harta, tanah air dan lain-lain melebihi kedua-duanya”.

Maksud yang dikehendaki dari sambutan maulid Nabi ﷺ adalah dengan menghimpunkan orang ramai untuk berzikir, menyanyikan syair qasidah dan puji pujian terhadap Baginda sallallahu alaihi wa sallam, membuat jamuan dengan niat bersedekah, berpuasa dan bersolat di malam hari; semua perkara ini dilakukan sebagai lambang kepada kecintaan kita terhadap Baginda ﷺ  serta lambang kegembiraan dengan hari kedatangan Baginda ﷺ ke dunia ini.

Jadi, hukum menyambut maulidurrasul ini telah disyariatkan di dalam Al-Quran, al-Sunnah dan juga kesepakatan para ulama’: 

Dalil pensyariatan maulid daripada kitab Al-Quran:

﴿وذَكِّرهم بأَيامِ اللهِ﴾ [إبراهيم: 5].

Ertinya: “Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah”. Antara yang dimaksudkan dengan hari-hari Allah itu adalah: hari-hari yang Allah selamatkan padanya para nabi dan walinya, hari-hari kelahiran mereka, dan yang paling besar kemuliaannya adalah hari kelahiran Kekasih yang Utama Nabi Terpilih Saidina Muhammad sallallahu alaihi wa sallam.

Allah taala sendiri memuliakan hari kelahiran para nabiNya dan menamakannya Ayyamus Salam(hari kesejahteraan);

﴿وسَلَامٌ عليه يَومَ وُلِدَ﴾ [مريم: 15]

Maksudnya: “Dan kami limpahkan kepadanya selamat sejahtera pada hari ia dilahirkan”. Dan pada hari kelahiran itu terzahirlah nikmat kewujudan iaitu sebab utama untuk mendapatkan nikmat-nikmat yang lain dan hari kelahiran Baginda Nabi sallallahu alaihi wa sallam adalah sebab kepada keseluruhan nikmat dunia dan akhirat.

 ﴿قُلْ بِفَضْلِ اللهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا﴾ [يونس: 58]

Ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurniaan Allah dan kasih sayangNya, maka dengan itulah hendaknya mereka bersukacita”. Dan Nabi sallallahu alaihi wa sallam merupakan rahmat yang paling agung kepada sekalian makhluk; Ibnu Abbas radiyallahu anhuma berkata: “فضلُ الله: العلمُ. ورحمتُه: مُحَمَّد صلى الله عليه وآله وسلم؛ قال الله تعالى:  ” أخرجه أبو الشيخ في “تفسيره”.

Ertinya: “Kurniaan Allah itu adalah ilmu dan rahmatnya adalah Muhammad sallallahu alaihi wa sallam; Allah taala berfirman:

 ﴿وَمَا أَرْسَلْنَاك إِلَّا رَحْمَة للْعَالمين﴾ 

Maksudnya: “Tidaklah kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam”.

Hadis riwayat Abu al-Syaikh di dalam tafsirnya.

Dalil daripada hadis:

Sebuah hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansari radiayallahu anhu katanya:

 أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم سُئِل عن صوم يوم الاثنين، فقال: «ذاكَ يَومٌ وُلِدتُ فِيهِ»

Ertinya: “Bahawasanya Nabi ﷺ ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, baginda menjawab: “Itulah hari yang aku dilahirkan padanya”.

Hadis ini menjadi dalil pensyariatan untuk menyambut hari kelahiran Baginda ﷺ dengan berpuasa padanya. Dan hadis daripada Ibnu Abbas radiyallahu anhuma:

 أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قدم المدينة، فوجد اليهود صيامًا يومَ عاشوراء، فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: «مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ؟» فقالوا: هذا يوم عظيم، أنجى الله فيه موسى وقومَه، وغرَّق فرعونَ وقومَه، فصامه موسى شكرًا، فنحن نصومه، فقال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: «فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ» فصامه صلى الله عليه وآله وسلم، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.

Maksudnya: “Bahawasanya ketika Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam datang ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’ maka Baginda sallallahu alaihi wa sallam bertanya kepada mereka: “Apakah hari yang kamu semua berpuasa ini? Seraya mereka menjawab: “Inilah hari yang agung, Allah taala telah menyelamatkan Musa dan kaumnya, dan menenggelamkan Firaun dan kaumnya, maka Musa berpuasa kerana bersyukur, begitu juga kami berpuasa, maka Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Maka kami lebih layak dan lebih utama dengan(mengikuti) Musa daripada kalian”, maka Baginda ﷺ berpuasa padanya dan mengarahkan (para sahabat) untuk berpuasa (padanya).

Muttafaqun alaih.

Dan juga hadis riwayat Imam Ahmad di dalam “al-Musnad” juga Abu al-Syaikh dan Ibnu Mardawaih daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu:

 مَرَّ النبي صلى الله عليه وآله وسلم بأُناس من اليهود قد صاموا يوم عاشوراء، فقال: «مَا هَذَا مِنَ الصَّوْمِ؟» قالوا: هذا اليوم الذي نجى الله موسى وبني إسرائيل من الغرق، وغرق فيه فرعون، وهذا يوم استوت فيه السفينة على الجودي، فصام نوحٌ وموسى شكرًا لله، فقال النبي صلى الله عليه وآله وسلم: «أَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى، وَأَحَقُّ بِصَوْمِ هَذَا الْيَوْمِ»، فأمر أصحابه بالصوم.

Maksudnya: “Nabi sallallahu alaihi wa sallam melalui suatu kumpulan Yahudi yang sedang berpuasa Asyura’, seraya berkata: “Puasa apakah ini? Jawab mereka: “Inilah hari yang Allah selamatkan Musa dan Bani Israel padanya daripada tenggelam dan Allah menenggelamkan Firaun, dan hari inilah bahtera(Nabi Nuh a.s) berlabuh di atas bukit Judi, maka Nuh dan Musa berpuasa padanya kerana bersyukur kepada Allah, maka Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Aku lebih berhak(mengikuti) Musa dan aku lebih berhak untuk berpuasa pada hari ini, kemudian Baginda ﷺ menyuruh para sahabatnya berpuasa”.

Jadi sekiranya menyambut hari Sayyidina Nuh alaihissalam diselamatkan dan juga menyambut hari kemenangan Nabi Musa alaihissalam disyariatkan, kenapa tidak sambutan hari kelahiran Baginda Nabi sallallahu alaihi wa sallam disyariatkan? Sesungguhnya ia lebih utama untuk disyariatkan.

Dan hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah di dalam al-Musannaf, Imam Ahmad di dalam al-Musanad, Imam al-Tirmidzi di dalam al-Jami’, Ibnu Hibban di dalam Sahihnya dan juga Ibnu Qattan dan Ibnu Mulaqqin mensahihkannya di dalam “al-Badrul Munir” daripada Buraidah al-Aslami katanya:

 خرج رسول اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم في بعض مغازيه، فلمَّا انصرف جاءت جاريةٌ سوداء فقالت: يا رسول الله، إنِّي كنت نذَرتُ إن رَدَّكَ اللهُ سَالِمًا أَن أَضرِبَ بينَ يَدَيكَ بالدُّفِّ وأَتَغَنّى، فقالَ لها رسولُ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم: «إن كُنتِ نَذَرتِ فاضرِبِي، وإلَّا فلا

Ertinya: “Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam keluar pada suatu peperangannya, setelah pulang dari berperang, datang seorang hamba perempuan hitam dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah bernazar sekiranya Allah mengembalikanmu dengan selamat dari peperangan, aku akan bermain kompang dan bernyannyi”, maka Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda kepadanya: “Sekiranya engkau telah bernazar maka mainkanlah, sekiranya tidak maka tidak perlu”.

Jadi sekiranya harus untuk bermain kompang kerana kepulangan Nabi ﷺ dari peperangan dalam keadaan selamat, maka keharusan menyambut ketibaan hari kelahiran Baginda ﷺ lebih utama.

Manakala dalil dari kesepakatan ulama’ adalah:

Imam al-Hafiz Abu Syamah al-Maqdisi mencatatkan di dalam kitabnya “al-Baits ala Inkari al-Bid’a wal Hawadis” (1/23, cetakan Dar al-Huda) katanya: “Maka Bidaah Hasanah itu disepakati pada keharusan melaksanakannya dan sunat melakukannya juga diharapkan pahala bagi mereka yang baik niatnya… antara perkara bidaah yang terbaik di zaman ini dan termasuk dalam hukum ini adalah apa yang dilakukan di Kota Irbil -moga Allah melindunginya- setiap tahun pada hari yang bertepatan dengan hari kelahiran Nabi sallallahu alaihi wa sallam dengan bersedekah dan amal kebajikan serta menzahirkan hiasan-hiasan dan kegembiraan; sesungguhnya perkara ini -termasuk segala kebaikan yang dilakukan kepada orang miskin-  menunjukkan rasa cinta kepada Baginda Nabi sallallahu alaihi wa sallam serta memuliakan dan mengagungkannya di dalam hati pelakunya, bersyukurlah kepada Allah taala atas anugerah kurniaanNya dalam menciptakan Rasul yang diutuskan sebagai rahmat sekalian alam”.

Juga Imam al-Sakhawi mencatatkan di dalam “al-Ajwibah al-Mardiyyah” (1/1116, cetakan Dar al-Rayah) katanya: “Umat islam di seluruh pelusuk benua dan kota-kota besar sentiasa menyambut pada bulan kelahiran Baginda Nabi sallallahu alaihi wa sallam dengan mengadakan jamuan besar yang dihiasi dengan hiasan-hiasan yang indah dan bersedekah pada malamnya dengan berbagai jenis sedekah, mereka juga menzahirkan kegembiraan dan menambah segala amalan kebaikan bahkan sangat-sangat menitik beratkan pembacaan maulidnya yang mulia, dan terzahir kesannya kepada mereka dengan berkat dan segala kelebihan, kerana ianya memang mujarab”.

Begitu juga kenyataan daripada al-Hafiz al-Qastallani di dalam “al-Mawahib al-Ladunniyah (1/89, cetakan al-Taufiqiah), dan al-Allamah al-Diyar al-Bakri di dalam “Tarikh al-Khamis fi Ahwal Anfasin Nafis sallallahu alaihi wa sallam” (1/223, cetakan Dar Sadir) dan ramai lagi.

Al-Hafiz Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi menyatakan di dalam kitabnya “Jamik al-Athar fis Sair wa Maulid al-Mukhtar” (3/249-251, cetakan Awqaf Qatar): “Telah datang riwayat menyatakan bahawa pembebasan Tsuwaibah adalah pada hari kelahiran Nabi sallallahu alaihi wa sallam; maka diriwayatkan bahawa apabila baginda dilahirkan oleh ibundanya, datang Tsuwaibah hamba kepada Abu Lahab maka dia pergi menyampaikan berita gembira tentang kelahiran anak saudaranya itu kepadanya(Abu Lahab), lantas dia membebaskannya pada waktu itu juga, dalam riwayat yang lain: “Bahwasanya Tsuwaibah masuk bertemu Abu Lahab dan berkata kepadanya: “Adakah engkau mengetahui bahawa Aminah telah mehirkan seorang bayi? Lantas dia berkata: “Engkau merdeka”, kerana itu dia diringankan azab pada setiap hari isnin; hal ini kerana kegembiraannya terhadap kelahiran Nabi sallallahu alaihi wa sallam dan perbuatannya membebaskan Tsuwaibah.

Urwah bin al-Zubair berkata -dalam riwayat yang sabit darinya-: “Apabila matinya Abu Lahab, sebahagian ahli keluarganya diperlihatkan di dalam mimpi keadaannya, seraya bertanya: “Apa yang engkau temui(setelah mati)? Maka berkata Abu Lahab: “Aku tidak bertemu dengan apa-apa kebaikan melainkan namaku disebut kerana aku membebaskan seorang hamba perempuan iaitu Tsuwaibah, dan dia mengisyaratkan kepada lubang diantara ibu jari dan jari telunjuknya… orang yang bermimpi tersebut adalah saudaranya al-Abbas radiyallahu anhu, peristiwa ini berlaku setelah setahun kematian Abu Lahab dalam peperangan Badar.

Beliau juga menyatakan di dalam kitabnya “Maurid al-Sodi fil Maulid al-Hadi sallallahu alaihi wa sallam” suatu kenyataan yang diambil dari Imam al-Suyuti di dalam “Husnul Maqsid fi Amalil Maulid” yang dicetak bersama “al-Hawi lil-Fatawi” (1/230, cetakan Dar al-Fikr) : “Telah sahih riwayat bahawa Abu Lahab diringankan azab pada setiap hari isnin; disebabkan oleh perbuatannnya memerdekakan Tsuwaibah kerana gembira dengan kelahiran Nabi sallallahu alaihi wa sallam, kemudian beliau menyebutkan kata-katanya(Imam al-Suyuti): 

إذا كان هذا كافــرًا جاء ذَمُّـــــــــــــــــــهُ … وتبَّتْ يداه في الجحـيم مُخَلَّدا
أتى أنه في يوم الاثنـــــــــــــــــين دائمًـــا … يخفف عنه للسرور بأحمـــــــدا

فما الظنُّ بالعبد الذي كان عمرَه … بأحمدَ مسرورًا ومات موحدًا

Maksudnya: “Sekiranya si kafir ini yang dicela di dalam al-Quran dengan celaka kedua tanganya di dalam neraka, datang riwayat mengatakan dia diringankan azab pada hari isnin kerana gembira dengan Ahmad, bayangkanlah keadaan seorang hamba yang seumur hidupnya gembira dengan (kelahiran)Ahmad dan mati dalam keadaan beriman”. 

Umat islam sepanjang kurun keempat dan kelima telah memasukkan dalam menyambut Maulidurrasul ﷺ dengan menghidupkan malamnya dengan pelbagai amalan kebaikan antaranya: mengadakan kenduri, berpuasa, berqiyamullail, membaca al-Quran, berzikir, serta melagukan syair dan qasidah memuji Nabi sallallahu alaihi wa sallam sepertimana yang dicatatkan oleh sejarawan; seperti al-Hafiz Ibnu Jauzi, Ibnu Dihyah, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar, al-Suyuti dan lain-lain, rahimahumullah taala.

Jumhur ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf juga telah menaskan mengenai pensyariatan sambutan Maulidurrrasul, dan ramai juga yang telah menyusun kitab dalam menyatakan kesunnahannya dengan menyatakan dalill-dalil yang sahih mengenai perkara ini; antaranya adalah:

Al-Hafiz Ibnu Dihyah di dalam kitabnya “al-Tanwir fi Maulid al-Basyir al-Nadzir ﷺ”.

Al-Hafiz al-Azfi di dalam kitabnya “al-Durr al-Munazzam fi Maulid al-Nabi al-Muazzam ﷺ”.

Al-Hafiz al-Alai di dalam kitabnya “al-Durrah al-Saniyyah fi Maulid Khoiril Bariyyah ﷺ”.

Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitabnya “al-Maurid al-Haniy fi al-Maulid al-Saniy”.

Al-Hafiz Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi di dalam kitabnya “Maurid al-Sodi fil Maulid al-Hadi ﷺ”.

Al-Hafiz al-Naji di dalam kitabnya “Kanzur Raghibin al-Ufah fi al-Ramzi ilal Maulid al-Muhammadi wal Wafah”

Dan juga al-Hafiz al-Suyuti di dalam kitabnya “Husnul Maqsid fi Amalil Maulid”, dan ramai lagi dari kalangan ulama’ ummah.

Imam al-Muarrikh al-Solihi mencatatkan di dalam kitabnya “Subulal Huda war Rashad fi Sirati Khoiril Ibad” (1/363, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah) daripada Imam al-Syeikh Musa al-Zarhuni -beliau merupakan seorang yang soleh- : “Bahawasanya beliau melihat Nabi sallallahu alaihi wa sallam di dalam tidurnya, maka beliau mengadu kepada Baginda ﷺ mengenai golongan yang mengatakan bidaah menyambut maulid Nabi yang mulia, maka Baginda Nabi sallallahu alaihi wa sallam berkata kepadanya: “Sesiapa yang bergembira kerana kami, kami juga gembira dengannya”.

Berdasarkan yang demikian, sambutan Maulidrrasul ﷺ menjadi lambang penyaksian kepada kecintaan, pengagungan dan kemuliaan terhadap Baginda ﷺ, ianya perkara yang sunat dan disyariatkan berdasarkan dalil dari Al-Quran dan hadis, bahkan ianya dilakukan oleh umat Islam sepanjang zaman, dan para ulama’ juga bersepakat pada kebaikannya dan tidak ada sebarang penentangan dari kalangan yang layak diterima hujjahnya.

Wallahu subhanahu wa taala aklam.

Oleh: PROF. DR. SYAUQI IBRAHIM ALLAM

Rujukan: Dar Ifta