Sembahyang Ghaib Ke Atas Jenazah Yang Mati Akibat Virus Covid 19, Adakah Dibenarkan?

Soalan:

Dalam keadaan yang dialami oleh kebanyakan negara di seluruh dunia akibat daripada Virus Covid-19 dan langkah-langkah kawalan yang dilakukan oleh negara dalam mengatasinya, antaranya; perintah kawalan pergerakan dan penjarakan sosial untuk mengelak jangkitan wabak. Adakah harus untuk ditunaikan sembahyang ghaib kepada mereka yang terkorban akibat virus ini kerana tidak boleh dilaksanakan sembahyang jenazah seperti biasa pada ketika ini?

Jawapan:

Sembahyang jenazah merupakan fardhu kifayah di sisi jumhur ulama bahkan syara’ juga menggalakkannya dan juga disunatkan mengiringi jenazah hingga dikebumikan; Abu Hurairah radiyallahu anhu meriwayatkan satu hadis katanya:

  قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: «مَنْ شَهِدَ الجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّي، فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَ حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ»، قيل: وما القيراطان؟ قال: «مِثْلُ الجَبَلَيْنِ العَظِيمَيْنِ» متفق عليه.

Maksudnya: sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam: “Sesiapa yang menyaksikan jenazah hingga disembahyangkan maka baginya pahala satu qirat, dan sesiapa yang menyaksikannya hingga dikebumikan, dia mendapat pahala sebanyak dua qirat, sorang sahabat bertanya: “Apakah itu dua qirat?” Jawab Baginda: Seperti dua gunung yang besar”. Muttafaqun alaih. Juga hadis riwayat Muslim daripada Aisyah radiyallahu anha:

 أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قال: «مَا مِنْ مَيِّتٍ تُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً، كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ، إِلَّا شُفِّعُوا فِيه

Maksudnya: Bahawasanya Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Tiada jenazah yang disembahyangkan oleh orang islam dengan bilangan mencapai seratus orang, kesemua mereka memohon syafaat kepadanya melainkan diberikan syafaat kepadanya”.  

Hukum asal dalam melaksanakan sembahyang jenazah adalah dengan meletakkan jenazah di hadapan imam dan orang yang bersembahyang dan diletakkannya menghadap kiblat untuk disolatkan, tetapi para ulama berselisihan pendapat pada keharusan untuk menyembahyangkan jenazah sekiranya mayat tiada di hadapan orang yang bersembahyang; itulah yang dimaksudkan dengan sembahyang ghaib, iaitu sembahyang yang dilakukan terhadap mayat yang tiada di tempat yang disolatkan padanya. Lihat “Hasyiah Ibnu Abidin” (2/212, cetakan Dar al-Fikr) dan “al-Majmuk” oleh Imam al-Nawawi (5/252, cetakan Dar al-Fikr). 

Mazhab Syafie dan Hanbali dalam pendapat yang muktamad dan juga yang dipilih sebagai fatwa: adalah harus sembahyang ghaib terhadap mayat yang tiada. Imam al-Nawawi menyatakan di dalam “Raudhah al-Thalibin” (2/132, cetakan al-Maktab al-Islami) : “Harus sembahyang ghaib ke atas jenazah beserta niat, walaupun (jenazah) tidak berada pada arah kiblat tetapi orang yang bersembahyang mesti menghadap kiblat, dan hukumnya sama terhadap jenazah yang jauh melebihi had qasar (2 marhalah) ataupun kurang”. Dan al-Allamah al-Bahuti menyatakan di dalam “Kasysyaful Qina’” (2/121, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah) : “Dan (harus) imam a’zhom (pemimpin) dan selainnya bersembahyang ke atas jenazah yang ghaib dari negerinya walaupun kurang dari jarak qasar ataupun jenazah tidak berada pada arah kiblat, iaitu kiblat orang yang bersolat beserta niat dalam tempoh sebulan begitu itu juga (hukumnya) sembahyang di atas kubur, tetapi tempoh sebulan itu bermula dari hari matinya”.

Para ulama’ Syafie dan Hanbali telah mensyaratkan dua syarat pada keharusan untuk menyembahyangkan jenazah yang ghaib iaitu:

Pertamanya: jarak yang jauh di antara tempat jenazah dan tempat ia disolatkan, walaupun jarak antara keduanya kurang dari jarak qasar, tetapi sekiranya jenazah serta orang yang menyembahyangkannya berada di negeri yang sama; maka tidak harus menyembahyangkannya kecuali secara berhadapan dan berhimpun di satu tempat yang sama walaupun negeri itu besar, melainkan sekiranya sukar untuk mereka hadir menyembahyangkannya di tempat jenazah; sepertimana yang berlaku pada masa ini terutama pada waktu perintah kawalan pergerakan(PKP), dan tidak disyaratkan pada keharusan bersembahyang ke atas mayat yang tiada di sisi mereka berada pada arah kiblat yang disembahyangkan.

Syarat yang kedua adalah: mengambil kira waktu; para ulama’ Syafie tidak menetapkan tempoh waktu yang tertentu untuk disolatkan jenazah tersebut, bahkan sah sembahyang ghaib walaupun setelah tarikh kewafatan jenazah, manakala ulama’ Hanbali menetapkan tempoh waktu sekadar sebulan dari tarikh kematian; dan mereka berdalilkan bahawa tidak diketahui kekalnya keadaan mayat tersebut tidak hancur setelah melebihi tempoh tersebut. Lihat “Tuhfatul Muhtaj” oleh Syaikhul Islam Ibnu Hajar (3/149, cetakan Dar Ihya’ Turas al-Arabi) dan “Syarhul Manhaj” oleh Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori (2/277, cetakan Dar al-Fikr), dan “Syarah al-Muntaha” oleh al-Allamah al-Bahuti (1/363, cetakan Alam al-Kutub).

Para ulama’ Syafie juga menambahkan satu syarat lagi di sisi mereka, iaitu mengikat sahnya sembahyang ghaib itu dengan keadaan orang yang wajib kepadanya solat jenazah ketika berlaku kematian, iaitu dia merupakan seorang mukallaf pada waktu itu kerana dia menunaikan suatu fardhu yang ditaklifkan kepadanya, berbeza keadaanya dengan orang yang bukan mukallaf pada waktu itu. Lihat “Tuhfah al-Muhtaj” (3/149) dan sandaran utama bagi mazhab Syafie dan Hanbali (pada keharusan solat ghaib) adalah hadis Nabi sallallahu alaihi wa sallam menyembahyangkan Najasyi Raja Habsyah; Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah radiyallahu anhuma:

أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم صلى على النجاشي فكنت في الصف الثاني أو الثالث

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah sallallahu alihi wa sallam menunaikan sembahyang jenazah kepada al-Najasyi dan aku berada pada saf yang kedua atau ketiga”.

Dan juga hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radiayallahu anhu katanya: 

نعى النبي صلى الله عليه وآله وسلم النجاشي ثُمَّ تَقدَّم، فصفوا خلفه، فكَبَّر أربعًا 

Maksudnya: Nabi sallallahu alaihi wa sallam menyampaikan berita kematian al-Najasyi kemudian baginda ke hadapan dan bertakbir empat kali(sembahyang jenazah). 

Manakala mazhab Maliki memakruhkan sembahyang ghaib dan ulama’ Hanafi mengharamkannya; disebutkan di dalam “ al-Durr al-Mukhtar” oleh Imam al-Haskafi (2/209) : “Tidak sah sembahyang jenazah ke atas mayat yang tiada dan juga mayat yang diletakkan diatas sesuatu seperti haiwan kenderaan atau berada di belakangnya(saf), kerana ia seperti imam dari satu segi  kerana sahnya solat dari kanak-kanak, manakala maksud solat Nabi sallallahu alaihi wa sallam terhadap Najasyi adalah dari segi bahasa(iaitu doa) atau ia merupakan khususiyat kepadanya”. Imam Ibnu Abidin membuat komentar kepada ayat ini iaitu: “Katanya(dari segi bahasa) yang dimaksudkannya adalah semta-mata berdoa tetapi ini takwilan yang jauh,(katanya: khususiyah) atau baginda menyingkap rahsianya sehingga baginda sallallahu alaihi wa sallam melihatnya berada di hadapannya, maka sembahyang mereka seperti keadaan makmum yang tidak melihat jenazah yang dilihat imam ketika disembahyangkan, jadi keadaan ini tidak bermasalah  dalam hukum mengikuti imam.dan dia menyebutkan dalil untuk sangkaan ini, antaranya adalah berapa ramai para sahabat yang telah wafat dan dari kalangan mereka ulama yang besar yang dimuliai Nabi sallallahu alaihi wa sallam dan tiada riwayat yang menceritakan baginda menyembahyangkan mereka walaupun Baginda bersungguh-sungguh dalam perkara ini hinggakan baginda bersabda:

 «لا يموتن أحد منكم إلا آذنتموني به فإن صلاتي عليه رحمة له»

Maksudnya: Janganlah mati seorang pun dari kalangan kalian melainkan diberitahu kepadaku kerana sembahyangku ke atasnya adalah rahmat baginya”.

Imam al-Kharasyi menyatakan di dalam syarahnya ke atas “Mukhtasar Khalil” (2/134, cetakan Dar al-Fikr) : “(Dan tidak ghaib) iaitu bahawasanya makruh untuk sembahyang ke atas seseorang yang hilang seperti lemas atau dimakan binatang buas atau mayat berada di suatu tempat atau negeri yang lain, manakala solat Nabi sallallahu alaihi wa sallam  ke atas Najasyi merupakan khususiyatnya, yang demikian itu kerana bumi mengangkat kepadanya dan baginda mengetahui hari kematiannya dan menyampaikan beritanya kepada para sahabatnya pada hari kematianya dan keluar bersembahyang bersama mereka sebelum dia dikebumikan dan tiada sesiapa yang melakukannya setelahnya dan tiada sesiapa yang sembahyang ke atas Nabi sallallahu alaihi wa sallam setelah baginda dikebumikan sedangkan sembahyang ke atas Nabi itu lebih disukai, maka ini menunjukkan perkara ini adalah khusus kepadanya sahaja”.

Cara untuk sembahyang ghaib kepada jenazah sama seperti sembahyang jenazah yang biasa iaitu dari segi syarat dan rukun-rukunnya; iaitu dengan empat kali takbir serta tiada azan dan iqamat, tiada rukuk dan sujud dan tidak disyaratkan secara berjemaah bahkan berjemaah itu hanya sunat, sepertimana pandangan jumhur ulama’. Lihat: “Badai’ al-Sanai’” oleh al-Kasani (1/315, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah) dan “Mughni al-Muhtaj” oleh al-Khatib al-Syarbini (1/334, cetakan Dar al-Fikr) dan “Syarah al-Muntaha” oleh al-Bahuti.

Juga disyaratkan padanya niat sembahyang jenazah, menghadap kiblat ketika sembahyang dan suci dari hadas kecil dan besar; kemudian membaca Fatihah selepas takbir yang pertama, selepas takbir yang kedua dia membaca separuh dari tahiyat akhir iaitu bermula dari: «اللهم صَلِّ علي سيدنا محمد..» sehingga akhir tasyahhud setelah itu membaca doa kepada mayat pada takbir yang ketiga dan setelah takbir yang keempat dia membaca doa untuk dirinya dan orang islam yang lain, begitu juga sunat dilakukan dalam solat ghaib  perkara-perkara yang sunat dilakukan ketika sembahyang jenazah.

Berdasarkan yang demikian, hukum asal sembahyang jenazah adalah dengan meletakkan jenazah di hadapan imam dan mereka yang bersembahyang; tetapi sekiranya sukar  untuk orang ramai melaksanakan sembahyang jenazah sepertimana yang berlaku kepada mereka yang mati akibat virus kovid-19, ataupun tidak dapat disembahyangkan akibat perintah kawalan pergerakan(PKP) yang dilaksanakan kerajaan; maka tiada halangan pada syara’ untuk dilakukan sembahyang ghaib ke atas jenazah tersebut tetapi mesti dijaga rukun-rukun,syarat-syarat dan sunat-sunat sepertimana yang mesti dilakukan ketika sembahyang jenazah.

Wallahu subhanahu wa taala aklam.

Artikel Asal Oleh: Dr.Syauqi Ibrahim Allam(Mufti Mesir)

Rujukan:  Dar-alifta Mesir

Kongsi dengan sahabat anda!