Ibadah korban adalah setiap haiwan ternakan yang disembelih dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah taala bermula dari Hari Raya Aidil Adha sehingga akhir hari tasyriq dan ia merupakan syiar dan lambang bagi agama Islam dan juga salah satu daripada sunat-sunat muakkad;
Allah taala telah berfirman :
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللهِ﴾ [الحج: 36]﴿
Ertinya :[“ Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu”]-al-Hajj:36.
Juga hadis riwayat Syaikhan(Imam al-Bukhari dan Muslim) daripada Anas bin Malik r.a : “Bahawasanya Nabi sallallahu alaihi wa sallam telah menyembelih dua ekor kibas berwarna putih bercampur hitam dan bertanduk sebagai korban dan bertasmiah(membaca bismillah) dan bertakbir serta meletakkan kaki baginda di atas sisi kedua kambing tersebut”. Dan pada riwayat yang lain ditambah : baginda menyembelih kedua-duanya sendiri.
Dan riwayat Ibnu Majah daripada A’isyah r.a bahawasanya Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda : (“Tiada sebarang amalan yang dilakukan anak Adam pada hari raya korban yang paling disukai oleh Allah Azza wa Jalla selain dari menumpahkan darah(menyembelih korban),dan bahawasanya haiwan korban itu akan datang pada hari kiamat beserta tanduk dan kaki dan bulu-bulunya,dan sesungguhnya darah itu akan jatuh di sisi Allah di suatu tempat sebelum ia sampai ke tanah. Maka ikhlaskan hati dengan berkorban”).
Antara perkara yang telah ditetapkan syara’ kepada pembuat korban bahawa perlakuannya terhadap hasil korban adalah terikat sama ada memberi makan kepada orang lain,atau dimakan olehnya,atau disedekahkan kulitnya ataupun dimanfaatkan sendiri olehnya. Firman Allah s.w.t :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ﴾ [الحج: 36]﴿
Ertinya : [“dan makanlah sebahagian daripadanya dan berilah kepada orang yang tidak meminta-minta dan yang meminta”].al-Hajj : 36.
Kerana inilah jumhur fuqaha’ dari mazhab Maliki,Syafie dan Hambali menetapkan bahawa haram menjual sesuatu hasil dari korban; kata Sayyidi Abul Barakat al-Dardir al-Maliki dalam kitabnya “al-Syarh al-Kabir”(2/124,cetakan Dar al-Fikr) : [“dan dilarang menjual sebahagian dari korban seperti kulit atau daging atau tulang atau bulu, dan tidak boleh diberi kepada penyembelih sebagai upah sembelihannya atau sebagai sebahagian daripada upah”].
Dan kata Imam Syamsuddin al-Ramli al-Syafie di dalam “Nihayah al-Muhtaj” (8/142, cetakan Dar al-Fikr) : [“dan dia bersedekah dengan kulitnya atau mengambil manfaatnya untuk dirinya sendiri atau meminjamkannya kepada orang lain,dan haram kepadanya dan ke atas warisnya untuk menjualnya seperti itu juga (hukum menjual) keseluruhan anggota haiwan korban dan menyewakannya dan memberinya kepada penyembelih sebagai upah”].
Dan kata Imam Ibnu Qudamah di dalam “al-Mughni”(9/356,cetakan Dar Ihya’ al-Turas al-Arabi) : [“Tidak harus menjual sesuatu bahagian daripada korban;sama ada dagingnya atau kulitnya,sama ada korban wajib(nazar) atau sunat,kerana ianya menjadi wajib dengan sembelih. Kata Imam Ahmad : tidak boleh menjualnya(daging korban) dan tidak boleh menjual sesuatu pun daripadanya”. Dan katanya : “Subhanallah,bagaimana dia boleh menjualnya sedangkan dia telah menjadikannya (sembelihan) kerana Allah tabaraka wa taala?”].
Juga dalil yang menunjukkan kepada perkara ini suatu hadis Riwayat Imam Muslim di dalam “al-Sohih” daripada Saidina Ali r.a katanya : (“Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam menyuruhku untuk menyembelih(koban) seekor unta dan menyedekahkan dagingnya,kulitnya serta pelananya dan tidak aku berikan kepada penyembelih sebahagian daripadanya(sebagai upah)”),katanya : “Kami memberi kepadanya(penyembelih bayaran asing) dari kami”.
Kata al-Imam al-Qurtubi di dalam “al-Mufhim”(3/416,cetakan Dar Ibnu Katsir,dan Dar al-Kalim al-Tayyib) : [“dan rasulullah sallallahu alaihi wa sallam menyuruhnya bersedekah dengan daging unta dan kulitnya dan pelananya; dalil: kerana bahawasanya kulit haiwan korban dan pelananya tidak boleh dijual kerana Nabi s.a.w menyambungnya dengan daging dan menyamakan hukumnya dan telah disepakati bahawa daging korban tidak boleh dijual begitu juga kulit dan pelananya”].
Dan Imam Ahmad menyebutkan satu hadis di dalam “Musnad”nya daripada Qatadah bin al-Nukman r.a bahawasanya Nabi sallallahu alaihi wa sallam berdiri kemudian bersabda : “Sesungguhnya Aku telah menyuruh kalian untuk tidak memakan daging korban melebihi tiga hari untuk menyenangkan kalian,dan sekarang aku menghalalkannya untuk kalian,maka makanlah daripadanya sekadar yang kamu mahu dan jangan kalian menjual daging korban. Daging korban itu kalian makanlah dan bersedekahlah dengannya dan gunakanlah kulitnya jangan dijual,sekiranya kalian diberi makan dagingnya maka makanlah jika kalian ingin”. Dan ini merupakan larangan yang jelas tentang jualan kulit haiwan korban.
Jadi sekiranya hukum menjual sesuatu daripada korban adalah haram,maka lebih aula pengharaman merosakkan(membuang) bahagian yang boleh dimanfaatkan darinya pada syara’dan hukum kepala dan kaki termasuk perkara yang boleh dimanfaatkan pada syara’; kata al-Syeikh Zakaria al-Ansari al-Syafie di dalam “Asna al-Matalib”(1/545,cetakan Dar al-Kutub al-Islami) : [“dan haram merosakkan dan menjual sesuatu dari bahagian korban sunat dan wajib,dan haram memberinya sebagai upah kepada penyembelih”].
Berdasarkan yang demikian,sesungguhnya haram hukumnya menjual,menanam,atau membuang kepala haiwan korban dan kakinya di tempat buangan sampah selagi ianya boleh dimanfaatkan.
Wallahu subhanahu wa taala a’lam.
Fatwa No. 5006
Prof. DR. Syauqi Ibrahim Allam
Rujukan : Darul Ifta’ Mesir