Puasa – Takrif, Pensyariatan dan Rahsia

Apakah takrif Puasa?

Puasa dari sudut bahasa bererti : Menahan diri daripada sesuatu sama ada kata-kata ataupun makanan. Firman Allah taala menceritakan tentang Maryam.

قال تعالى : إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمٰنِ صَوْمًا

Sesungguhnya aku bernazar untuk berpuasa kerana (Allah) Ar-rahman“. (Maryam : 26)

Puasa disini bermaksud menahan diri dan berdiam diri daripada berkata-kata.

Puasa dari sudut syarak bererti : Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Sejarah Pensyariatan Puasa

Puasa ramadhan difardhukan pada bulan syaaban tahun kedua hijrah. Sebelum itu, puasa telah diketahui oleh umat islam sebelumnya dan juga ahli kitab yang hidup sezaman dengan Nabi SAW Firman Allah Taala :

قالى تعالى : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

Walau bagaimanapun, kewajipan puasa ramadhan tidak pernah disyariatkan sebelum itu. Persamaan yang wujud diantara umat ini dengan umat islam dahulu ialah puasa yang disyariatkan. Tetapi kefardhuan puasa ramadhan dikhususkan hanya kepada Umat Nabi Muhammad SAW.

Dalil Disyariatkan Puasa Ramadhan

قالى تعالى : شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya : “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. ” (Al-Baqarah : 185)

عمر بن الخطاب رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( بني الإسلام على خمس : شهادة أن لا إله إلا الله ، وأن محمدا رسول الله ، وإقام الصلاة ، وإيتاء الزكاة ، وحج البيت ، وصوم رمضان ) رواه البخاري و مسلم

“Islam dibina atas lima perkara : mengakui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, dan puasa pada bulan Ramadhan.”

Hukum Meninggalkan Puasa Ramadhan Tanpa Keuzuran

Puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun islam dan termasuk kefardhuan yang diketahui daripada agama secara daruri (mudah), maka orang yang mengingkari kefardhuannya adalah kafir dan dia hendaklah diperlakukan sebagaimana diperlakukan terhadap orang murtad. Dia hendaklah diminta bertaubat; sekiranya dia bertaubat, taubat itu diterima daripadanya. Kalau dia tidak mahu bertaubat, dia hendaklah dibunuh sebagai melaksanakan hukum hudud kesalahan murtad. Ini jika sekiranya dia bukan seorang yang baru memeluk islam ataupun dia hidup membesar jauh daripada pembangunan, maksudnya jauh dari tempat ulama’ (orang bijak pandai). Manakala orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran dan dia tidak mengingkari kewajipan seperti dia berkata : “Saya wajib berpuasa tetapi saya tidak mahu berpuasa, maka orang ini hukumnya fasik dan tidak kafir. Pemerintah orang-orang Islam wajib menahannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya puasa terlaksana padanya, walaupun sekadar pada zahirnya sahaja.

Di antara Hikmah, Rahsia dan Faedah Puasa

Puasa Ramadhan adalah ibadah yang telah difardhukan oleh Allah Taala. Maksud Ibadah ialah seseorang muslim melaksanakan sebagai memenuhi titah perintah Allah Taala dan menunaikan hak perhambaan kepadanya tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah puasa. Sekiranya seseorang muslim telah melakukan perkara tersebut, maka selepas itu tidak apa halangan baginya untuk mencari hikmat dan rahsia ketuhanan yang tersembunyi di sebalik sesuatu ibadah seperti puasa dan sebagainya. Suatu perkara yang tidak diragukan lagi ialah hukum-hukum Allah Taala semuanya mempunyai hikmat, rahsia, dan faedah untuk hamba. Tetapi tidak disyaratkan hamba itu mengetahui perkara tersebut.

Tidak diragukan juga bahawa puasa mempunyai hikmat dan faedah yang cukup banyak yang kadang-kadang sebahagiannya diketahui oleh hamba, tetapi masih banyak lagi yang tidak diketahuinya.

Di antara hikmat dan faedah puasa yang mungkin diketahui oleh seseorang Islam ialah :

  1. Di antara sifat puasa yang sahih ialah menyedarkan hati seorang mukmi terhadap muraqabah Allah Azzawajalla. Ini disebabkan apabila orang yang berpuasa menhabiskan sebahagian waktu siangnya, dia akan merasai lapar dan dahaga, maka jiwanya inginkan makanan dan minuman . Tetapi perasaannya yang mengetahui bahawa dirinya berpuasa menghalangnya daripada memenuhi kehendak jiwanya sebagai melaksanakan perintah Allah Azzawajalla. Daripada penentangan jiwa ini akan lahirlah kesedaran hati dan suburlah perasaan muraqabah Allah Taala serta berterusanlah ingatannya terhadap rububiyah dan keagungan kekuasaan Allah. Begitu juga dia akan sentiasa sedar bahawa dia adalah hamba yang tunduk kepada hukum Allah dan mematuhi kehendak-Nya.
  2. Ramadhan adalah bulan suci dibandingkan dengan semua bulan dalam satu tahun. Allah Azzawajalla menghendaki hambaNya supaya memenuhkanya dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya. Juga mengisinya dengan setinggi-tinggi makna penghambaan kepada Allah Azzawajalla. Alangkah sukarnya untuk merealisasikan perkara ini apabila berhadapan dengan hidangan makanan, berada di majlis minum, selepas perut diisi penuh dan setelah naiknya hawa makanan ke dalam pemikiran dan otak. Jadi pensyariatan puasa pada bulan ini adalah jalan yang paling mudah untuk memenuhi hak Allah dan melaksanakan kewajipan perhambaan kepadaNya.
  3. Sesungguhnya kehidupan seseorang muslim yang sentiasa berada dalam keadaan kenyang pasti akan memenuhkan jiwanya dengan sifat-sifat yang keras dan menyuburkan faktor-faktor pelampauan. Kedua perkara ini bertentangan dengan keadaan sebenar seseorang muslim. Jadi pensyariatan puasa akan membersihkan jiwanya dan menghaluskan perasaannya.
  4. Di antara prinsip terpenting tertegaknya masyarakat Islam ialah saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi sesama umat Islam. Amat sukar bagi si kaya untuk mengasihi si fakir dengan kasih sayang yang sebenarnya tanpa dia merasai kesakitan dan kepayahan kemiskinan juga kepahitan kelaparan dan penderitaan. Bulan Ramadhan adalah sebaik-baik pengalaman yang akan diperolehi si kaya mengenai perasaan si fakir. Ini menjadikannya hidup bersama si fakir di alam kepedihan dan dihalang daripada memiliki makanan. Dari sini puasa adalah sebaik-baik perkara yang menimbulkan faktor-faktor kasih sayang, rahmat dan kasihan di dalam jiwa si kaya.

Siap ditulis pada 12 Ogos 2009.
Hari Rabu, Jam 7:31PM.
Ahmad Rushdi Bin Yusoff

Rujukan : Kitab Al-Feqh Al-Minhaji, Darul Qalam, Damsyik.

Kongsi dengan sahabat anda!